Mungkinkah Ini Bukan Hanya Tekanan Selepas Bersalin?

Facebooktwittergoogle_pluspinterestmail

3 Postpartum BM

Menyambut kelahiran bayi adalah satu perkara yang sungguh menggembirakan buat seisi keluarga. Namun, ia juga mungkin memberi tekanan kepada ibu yang perlu menyesuaikan diri untuk menjaga bayinya yang baru lahir.

Ramai wanita mengalami “baby blues” selepas bersalin. Anda mungkin berasa sedih, bimbang atau letih, kerap menangis, hilang selera makan, atau menghadapi kesukaran untuk tidur. “Baby blues” ini biasanya hilang sendiri dalam masa beberapa hari atau minggu. Simptom-simptomnya tidak teruk dan tidak memerlukan rawatan. 1

Ada pula wanita yang mengalami meroyan atau “postnatal depression” (PND) yang lebih teruk dan berpanjangan daripada “baby blues”. Anda mungkin berasa seperti tiada harapan, tidak berguna dan hilang minat terhadap bayi. Wanita-wanita ini biasanya memerlukan rawatan. 1

Selain daripada “baby blues” dan PND, wanita juga mungkin mengalami tiroiditis selepas bersalin atau “postpartum thyroiditis” (PPT), iaitu keradangan pada kelenjar tiroid dalam tahun pertama selepas bersalin walaupun kelenjar tiroid mereka sihat sebelum ini. Sebab utama PPT tidak jelas, tetapi ada kemungkinan bahawa wanita yang mengalami masalah ini sebenarnya mempunyai masalah tiroid autoimun yang tidak dikesan yang menjadi semakin teruk selepas melahirkan bayi akibat perubahan pada fungsi imun. 2

PPT selalunya bersifat sementara dan mungkin melibatkan 2 fasa, hipertiroidisme dan hipotiroidisme. Dengan hipertiroidisme, wanita mungkin berasa bimbang, cepat marah dan mengalami penurunan berat badan yang mendadak. Mereka yang mengalami fasa hipotiroid mungkin berasa letih, sensitif kepada kesejukan dan sembelit. 3

Oleh itu, tidak hairanlah jika wanita kerap menganggap simptom-simptom PPT sebagai kesan daripada menjaga bayi yang baru lahir, tertekan dengan berat badan selepas bersalin dan perubahan drastik terhadap rutin sebagai ibu baru. Ada wanita yang mungkin keliru dan menganggap PPT sebagai meroyan. Ini membuatkan mereka tidak mendapatkan nasihat perubatan.4

Bagi kebanyakan wanita yang menghidap PPT, fungsi tiroid kembali normal dalam masa 12 hingga 18 bulan selepas simptom-simptom bermula. 5 Walau bagaimanapun, wanita-wanita ini mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat hipotiroidisme kekal. 3 Ada pula wanita yang tiroidnya terlalu rosak untuk kembali berfungsi secara normal dan hipotiroidisme mereka kekal, lalu memerlukan rawatan sepanjang hayat dengan hormon tiroid sintetik. 6

Rujukan

  1. Postpartum Depression [Internet]. 2016 [cited 2016 Apr 28]. Available from: https://www.nlm.nih.gov/medlineplus/postpartumdepression.html
  2. Stagnaro-Green A. Postpartum thyroiditis. The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism. 2002; 87(9):4042–4047.
  3. Abalovich M, Amino N, Barbour LA, Cobin RH, De Groot LJ, Glinoer D, Mandel SJ, and Stagnaro-Green A. Management of Thyroid Dysfunction during Pregnancy and Postpartum: An Endocrine Society Clinical Practice Guideline. Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism. 2007. 92(8) (Supplement):S1–S47
  4. Pereira K; Brown AJ. Postpartum Thyroiditis: Not Just a Worn Out Mom. Journal for Nurse Practitioners. 2008;4(3):175-182.
  5. Mayo Clinic. Postpartum Thyroiditis: Definition [Internet]. 2013 [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/postpartum-thyroiditis/basics/definition/con-20035474
  6. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. Pregnancy and Thyroid Disease [Internet]. 2013 [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.niddk.nih.gov/health-information/health-topics/endocrine/pregnancy-and-thyroid-disease/Pages/fact-sheet.aspx#sup2