Hipotiroidisme Ketika Kehamilan Dan Kelahiran

Facebooktwittergoogle_pluspinterestmail

Ibu-ibu hamil yang mengalami simptom-simptom hipotiroidisme perlu menjalani pemeriksaan secepat mungkin.

Sudah menjadi kebiasaan untuk bakal ibu dan bapa yang penyayang melakukan semua yang termampu sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayi yang sungguh berharga. Dari menghadiri kelas antenatal, membeli-belah untuk barangan keperluan penjagaan bayi, hinggalah memilih warna yang paling sesuai untuk bilik bayi, semuanya dilakukan bersama. Semua ibu bapa inginkan permulaan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Namun, walaupun telah berusaha sedaya upaya, mungkin ada sesuatu yang tidak dijangka berlaku ketika kehamilan kerana sesetengah perkara adalah di luar kawalan kita seperti perubahan besar ke atas tubuh seseorang wanita untuk disesuaikan dengan bayi yang sedang membesar di dalam kandungan. Ini termasuklah organ berbentuk rama-rama di pangkal leher iaitu kelenjar tiroid yang sering tidak mendapat perhatian. 1

Menurut Professor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pengerusi program kesedaran hipotiroidisme Transform Your Life, kelenjar tiroid yang sihat dan berfungsi dengan baik adalah penting untuk semua orang, tetapi ia lebih penting kepada wanita pada usia kehamilan mereka. 2

Pakar perunding endokrinologi ini menerangkan: “Apabila seseorang wanita itu hamil, tubuhnya memerlukan hormon tiroid yang mencukupi untuk menyokong keperluan metaboliknya yang semakin meningkat, serta untuk bayi yang dikandungkannya. Kelenjar tiroid yang sihat mampu memenuhi keperluan untuk hormon tiroid yang meningkat bagi ibu dan bayinya secara semula jadi. 3

“Walau bagaimanapun, sesetengah wanita mungkin mengalami masalah di mana kelenjar tiroid mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat ini lalu membawa kepada hipotiroidisme maternal – sejenis penyakit tiroid di mana hormon tiroid yang dihasilkan adalah tidak mencukupi”. 3 Ini boleh membawa kesan yang serius kepada ibu dan bayi, malah membahayakan kesihatan mereka. 4

Kehamilan dan komplikasi ketika kelahiran

Apabila bekalan hormon tiroid di dalam darah tidak mencukupi, pelbagai fungsi tubuh boleh terjejas lalu menyebabkan simptom-simptom seperti keletihan, kenaikan berat badan yang tidak sesuai, sembelit dan lebih sensitif kepada kesejukan berbanding orang lain. 1

Namun, ibu-ibu hamil selalunya sudah lali dengan simptom-simptom ini dan mungkin menganggapnya sebagai kesan biasa daripada kehamilan.3 Sesetengah wanita mungkin menghidap hipotiroidisme ringan (subklinikal) di mana simptom-simptomnya sama ada ringan atau langsung tiada. 1 Ini boleh menyebabkan penyakit ini tidak dikesan dan seterusnya tidak dirawat.

Jika keadaan ini berterusan, ia mungkin membawa kepada hipertensi akibat kehamilan, kematian bayi sewaktu lahir, kelahiran pramatang dan pemisahan plasenta dari dinding rahim. 5 Semua komplikasi ini boleh mengancam nyawa anda dan bayi anda.

Selepas melahirkan bayi

Sesetengah wanita yang mempunyai kelenjar tiroid yang berfungsi dengan normal mungkin mengalami tiroiditis selepas bersalin atau postpartum thyroiditis (PPT), sejenis keradangan pada kelenjar tiroid dalam tahun pertama selepas melahirkan bayi. Walaupun sebab utama PPT tidak jelas, ada kemungkinan bahawa wanita yang mengalami masalah ini sebenarnya mempunyai masalah tiroid autoimun yang tidak dikesan yang menjadi semakin teruk selepas melahirkan bayi akibat perubahan pada fungsi imun. 6

Malangnya PPT sukar dikesan kerana ia biasanya dianggap sebagai tekanan menjaga bayi baru lahir dan gangguan mood selepas bersalin yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan perubahan emosi ibu. 6

Selain itu, wanita-wanita ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk membentuk hipotiroidisme kekal dalam masa 5-10 tahun selepas mengalami PPT.7

Ketahui status tiroid anda

Prof Nor Azmi menegaskan bahawa hipotiroidisme maternal adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil. 5 Namun, wanita biasanya tidak sedar akan penyakit ini. Oleh itu, mereka meneruskan kehidupan dengan penyakit yang tidak dikesan dan dirawat ini.

Beliau menasihatkan: “Anda hanya perlu menjalani ujian darah yang ringkas di mana-mana klinik atau hospital untuk mengesan sekiranya anda mempunyai masalah ini. 4 Anda mungkin menghadapi risiko jika mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tiroid, pernah mengalami keguguran atau kelahiran pramatang atau diabetes Jenis 1 atau penyakit-penyakit autoimun lain. 5

“Anda mungkin diberi pil tiroksin, sejenis hormon tiroid sintetik yang membantu mengawal hipotiroidisme. Pil ini penting untuk kesejahteraan bayi yang anda kandungkan. 4

“Akhir sekali, ingatlah bahawa hipotiroidisme boleh membawa kesan yang serius kepada tumbesaran dan perkembangan bayi anda. Apabila tidak dirawat, hipotiroidisme boleh menjejaskan perkembangan otak, terutamanya pada trimester pertama. Ini adalah satu tragedi kerana masalah ini sebenarnya boleh dirawat dengan mudah dan sepatutnya boleh dicegah”. 1

Prof Nor Azmi turut menekankan: “Kita mesti memandang serius terhadap hipotiroidisme demi keselamatan ibu-ibu yang hamil dan bayi-bayi mereka. Ibu-ibu mesti digalakkan untuk menjalani pemeriksaan hipotiroidisme kerana ia penting supaya mereka faham peranan tiroid dalam mengekalkan kehamilan dan bayi yang sihat”.

Beliau menggalakkan ibu-ibu untuk melayari www.tyl.my untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hipotiroidisme ketika hamil dan apa yang boleh mereka lakukan mengenainya.

Artikel disumbangkan oleh Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia di bawah program Transform Your Life yang disokong oleh Merck Biopharma.

Rujukan

  1. Sahay RK, Nagesh VS. Hypothyroidism in pregnancy. Indian J Endocrinol Metab. 2012 May-Jun;16(3): 364–370.
  2. Thyroid Australia. Postpartum Thyroiditis [Internet]. 2001 [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.thyroid.org.au/ThySoc/ThySocPPTD.html
  3. AACE Thyroid Awareness. The Thyroid and Pregnancy [Internet]. n.d. [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.thyroidawareness.com/the-thyroid-and-pregnancy#top
  4. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. Pregnancy and Thyroid Disease [Internet]. 2013 [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.niddk.nih.gov/health-information/health-topics/endocrine/pregnancy-and-thyroid-disease/Pages/fact-sheet.aspx#sup2
  5. Thyroid Screening in Pregnant Women. Putrajaya: Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia. 2008 December.

 

TransformYourLife press article-BM