Hanya Kesan Penuaan Atau Masalah Tiroid?

Facebooktwittergoogle_pluspinterestmail

Penyakit tiroid yang tidak dikesan mungkin menjadi punca tersembunyi komplikasi kesihatan anda.

Kita semua menghadapinya dalam kehidupan ini. Ada di antara kita yang melaluinya dengan lebih mudah dan ada pula yang menderita. Jika anda masih tertanya-tanya apakah ia, ia adalah ‘penuaan’. Namun, adakah benar peningkatan usia bermakna anda perlu mengalami pelbagai masalah kesihatan dan belajar untuk hidup dengan ketidakselesaan? Apa yang menyedihkan, ini mungkin kenyataan bagi ramai warga emas yang walaupun telah berusaha sedaya upaya, masih tidak dapat melalui usia tua mereka dengan baik dan sihat.

Kini, semakin ramai yang mempersoalkan mengenai hidup yang lebih lama dengan kesihatan yang baik atau dengan pelbagai penyakit.1 Walaupun terdapat banyak kemajuan dalam teknologi perubatan, sains pemakanan dan penjagaan kesihatan, masih banyak yang perlu dipelajari mengenai kesihatan warga emas.

Menurut Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pengerusi program hipotiroidisme Transform Your Life, perubahan berlaku di dalam semua sistem tubuh termasuklah sistem endokrin, apabila kita meningkat usia.2 Walau bagaimanapun, apabila tiroid, sejenis kelenjar berbentuk rama-rama di pangkal leher tidak diberi perhatian, seseorang warga emas itu boleh mengalami pelbagai masalah.

Prof Nor Azmi, seorang pakar runding endokrin menambah: “Semakin ramai yang berminat mengambil tahu tentang fungsi tiroid di kalangan warga emas kerana kaitan status tiroid dengan kehilangan upaya, fungsi kognitif, risiko penyakit kardiovaskular dan tempoh hayat.2

“Wanita yang berusia lebih 60 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat hipotiroidisme, sejenis masalah di mana kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi, berbanding lelaki.3 Oleh itu, adalah penting untuk wanita warga emas memahami dan mengenali simptom-simptom hipotiroidisme supaya mereka boleh mendapatkan nasihat perubatan jika perlu.”

Hipotiroidisme sering tidak dikesan

Hipotiroidisme sukar dikesan kerana kebanyakan simptomnya, terutamanya dalam kes ringan (subklinikal) adalah tidak spesifik. 4 Simptom-simptom lazim adalah seperti tidak tahan sejuk, kenaikan berat badan, kulit kering, sembelit, mental dan fizikal menjadi perlahan, mudah disalahtafsirkan sebagai penuaan biasa.5

Selain itu, kewujudan pelbagai penyakit kronik di kalangan warga emas serta kesan sampingan dari ubat-ubatan boleh meniru atau menyembunyikan simptom-simptom ini.5

“Terdapat banyak kes di mana simptom-simptom hipotiroidisme berkembang dengan perlahan dan tidak dikesan hingga berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, lalu menyukarkan kami untuk melakukan diagnosis perubatan,”4 terang Prof Nor Azmi.

Hipotiroidisme perlu dirawat

Memandangkan kelenjar tiroid penting dalam mengekalkan metabolisme, gangguan dalam penghasilan hormon boleh membawa kesan yang serius.6 Jika tidak dirawat, hipotiroidisme boleh melarat dari ringan (subklinikal) hingga ketara (teruk).4

Hipotiroidisme dikaitkan dengan kenaikan paras kolesterol dan trigliserida dalam darah dan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik dan kegagalan jantung.5,6 Ia juga mungkin menyebabkan kelemahan otot menyeluruh yang membawa kepada masalah otot, rangka dan pergerakan di kalangan warga emas.5

Selain itu, hipotiroidisme juga mungkin menyebabkan memori menjadi lemah dan percakapan serta pemikiran menjadi perlahan. 5 Malah, masalah tiroid telah lama dikenalpasti sebagai penyebab gangguan kognitif yang boleh dipulihkan walaupun ia meningkatkan risiko seseorang wanita itu mendapat penyakit Alzheimer. 7

Ambil berat mengenai kesihatan tiroid anda

Prof Nor Azmi menekankan bahawa adalah mustahil untuk mengesahkan hipotiroidisme berdasarkan simptom-simptom klinikal sahaja.4 Oleh itu, penting untuk warga emas menjalani pemeriksaan hipotiroidisme melalui ujian darah yang ringkas di mana-mana klinik atau hospital.

“Antara sebab-sebab yang paling penting untuk merawat hipotiroidisme adalah untuk melegakan simptom-simptom dan mencegah masalah ini dari menjadi lebih teruk.4 Diagnosis dan rawatan awal sangat penting kerana masalah tiroid sering dikaitkan dengan jumlah penyakit dan kematian yang lebih tinggi di kalangan warga emas,” 8 terang Prof Nor Azmi.

Tambah beliau: “Rawatannya juga agak mudah dan kosnya tidak begitu tinggi. Anda mungkin diberikan pil tiroksin, sejenis hormon tiroid sintetik.6 Ubat ini boleh membantu anda berasa lebih baik.”

Walaupun kita tidak boleh mengelak dari meningkat usia, ketahuilah bahawa dengan gaya hidup yang sihat dan pemeriksaan kesihatan yang tetap, anda boleh mengekalkan kesihatan yang baik. Lagipun, tidak terlalu lambat untuk anda mula menjaga diri sendiri.

 

Rujukan

  1. S Department of Health and Human Services, World Health Organisation. Global Health and Aging. Maryland: World Health Organisation; 2011 Oct. 32 p.
  2. Aggarwal N, Razwi S. Thyroid and Aging or the Aging Thyroid? An Evidence-Based Analysis of the Literature. Journal of Thyroid Research. 2013; 2013, Article ID 481287, 8 p.
  3. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. Hypothyroidism [Internet]. 2016. [cited 2016 Sep 14]. Available from: https://www.niddk.nih.gov/health-information/health-topics/endocrine/hypothyroidism/Pages/fact-sheet.aspx
  4. Bensenor IM, Olmos RD, Lotufo PA. Hypothyroidism in the elderly: diagnosis and management. Clinical Interventions in Aging 2012:7 97–111.
  5. Rehman SU, Cope DW, Senseney AD, Brzezinski W. Thyroid disorders in elderly patients. South Med J. 2005 May;98(5):543-9.
  6. University of Maryland Medical Centre. Hypothyroidism [Internet]. 2016 [cited 2016 Sep 14]. Available from: http://umm.edu/health/medical/reports/articles/hypothyroidism
  7. Tan ZS, Beiser A, Vasan RS, Au R, Auerbach S, Kiel DP, Wolf PA, Seshadri S.Thyroid Function and the Risk of Alzheimer’s Disease: The Framingham Study. Arch Intern Med. 2008; 168(14): 1514–1520.
  8. Mitrou P, Raptis SA, Dimitriadis G. Thyroid disease in older people. Maturitas. 2011; 70(1):5-9

 

tyl-elderly-infograph-bm-20161012