Bebaskan Diri Dari Hipotiroidisme!

Facebooktwittergoogle_pluspinterestmail
Pakar perubatan menyeru wanita yang mengalami tanda-tanda dan simptom-simptom hipotiroidisme untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan demi kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Kuala Lumpur, 22 Mei 2017 – Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakan penjagaan kesihatan terkemuka, Merck Malaysia, untuk melancarkan kempen ‘Bebaskan Diri Dari Hipotiroidisme’, sebuah kempen kesihatan masyarakat untuk memberi sokongan kepada wanita yang mungkin menghidap penyakit tersebut.

Majlis pelancaran kempen ini telah dirasmikan oleh Dato’ Dr Hj Azman bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM, yang mewakili Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Dato’ Dr Hj Azman bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM

Dalam ucapan pembukaannya, Dr Zanariah Hussein, Presiden MEMS berkata, kempen tersebut akan dijalankan di bawah program ‘Transform Your Life’ yang dimulakan bersama oleh Persatuan tersebut dan Merck Malaysia pada tahun 2015.

“Pesakit mungkin hanya perlu menjalani pemeriksaan darah yang ringkas…untuk mengubah hidup mereka menjadi lebih baik” – Dr Zanariah Hussein, Presiden MEMS

“Pada tahun ini, kami membuat keputusan untuk menumpukan usaha-usaha kami kepada wanita sepenuhnya kerana penyakit ini biasanya berlaku di kalangan wanita, berbanding lelaki.1 Kempen ini akan menampilkan sebuah video dalam talian, poster klinik dan buku informasi kecil. Kami berharap alat-alat ini akan membantu wanita mengenal pasti tanda-tanda dan simptom-simptom ringan hingga teruk bagi penyakit hipotiroidisme,” jelas Dr Zanariah.

“Pesakit mungkin hanya perlu menjalani pemeriksaan darah yang ringkas dan mengambil pil tiroksina (sejenis hormon tiroid sintetik) untuk mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.1 Inilah sebabnya kami sangat gembira kerana KKM membolehkan kami mendekati dan membantu lebih ramai wanita melalui rangkaian hospital dan klinik kerajaan yang luas,” tambah beliau.

Cik Ee Boon Huey, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Merck Malaysia turut memuji usaha sama tiga hala tersebut. Beliau berkata: “Syarikat kami telah bekerjasama dengan MEMS sejak tahun 2015 dan kami berbesar hati untuk terus memberi sokongan yang kuat melalui kempen “Bebaskan Diri Dari Hipotiroidisme” ini. Dengan ini, kami mengukuhkan lagi komitmen korporat kami untuk turut memberi perhatian terhadap golongan wanita agar mereka dapat mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan yang diperlukan untuk berjaya dalam setiap aspek kehidupan mereka – di rumah, di tempat kerja dan dalam masyarakat.”

“Kami berbesar hati untuk terus memberi sokongan yang kuat” – Cik Ee Boon Huey, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Merck Malaysia

Ee menambah bahawa Merck Malaysia telah menyokong Minggu Kesedaran Tiroid Antarabangsa (ITAW) sejak tahun 2009 dan menjadi penganjur bersama bagi inisiatif ‘Healthy Women, Healthy Economies’ oleh Asia Pacific Economic Cooperation. Merck adalah syarikat farmaseutikal dan kimia yang tertua di dunia, dan akan meraikan ulang tahun ke-350 pada tahun 2018, satu pencapaian yang membuktikan dedikasi syarikat ini kepada sains dan teknologi.

Dalam taklimat kepada pihak media, Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, pengerusi program ‘Transform Your Life’ menjelaskan bahawa tiroid adalah sejenis kelenjar kecil berbentuk seperti rama-rama yang terletak di pangkal tekak. Tiroid merembeskan hormon yang mengawal metabolisme dan mempengaruhi pelbagai fungsi tubuh. Beliau menerangkan bahawa hipotiroidisme berlaku apabila tiroid tidak dapat menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh.1

Prof Nor Azmi berkata: “Ibu-ibu hamil terutamanya menghadapi risiko hipotiroidisme kerana ia adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil.2 Malangnya, simptom-simptom hipotiroidisme mungkin akan diabaikan dan dianggap sebagai kesan sampingan daripada kehamilan, lalu menyebabkan penyakit ini tidak dikesan.3

“Ibu-ibu hamil terutamanya menghadapi risiko hipotiroidisme” – Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pengerusi program ‘Transform Your Life’

“Apabila wanita hamil yang menghidap hipotiroidisme tidak dirawat di peringkat awal, ia akan membahayakan ibu dan bayi. Ibu yang hamil mungkin akan mengalami tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, dan kenaikan berat badan berlebihan.2,4,5 Bayinya pula mungkin akan mengalami masalah pembelajaran dan perkembangan. Hipotiroidisme ketika hamil tidak sepatutnya diambil ringan.”5,6

Prof Nor Azmi menambah bahawa sesetengah wanita yang mempunyai kelenjar tiroid yang berfungsi dengan normal mungkin akan mengalami tiroiditis selepas bersalin (PPT) dalam masa setahun selepas bersalin. Beliau menjelaskan: “PPT merujuk kepada keradangan pada kelenjar tiroid. Malangnya, ia sukar dikenal pasti kerana kemurungan yang disebabkannya sering dianggap akibat daripada tekanan menjaga bayi baru lahir dan penyakit ‘postpartum mood’. 7 Wanita dengan PPT yang tidak dirawat menghadapi risiko lebih tinggi untuk mendapat hipotiroidisme kekal dalam tempoh 5-10 tahun seterusnya.” 6

Beralih tumpuan kepada wanita berumur lebih 60 tahun, Prof Nor Azmi menekankan bahawa warga emas sangat terdedah kepada penyakit ini. Beliau berkata: “Hipotiroidisme telah dikaitkan dengan peningkatan paras kolesterol dan trigliserida dalam darah, seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik dan kegagalan jantung.4,8 Ia juga mungkin mengakibatkan kelemahan otot, kemerosotan memori, percakapan dan pemikiran menjadi lambat, di samping meningkatkan risiko wanita mendapat penyakit Alzheimer.4,8,9

“Malangnya, sukar untuk hipotiroidisme dikesan di kalangan warga emas. Simptom-simptom lazim penyakit ini (seperti sering berasa sangat sejuk, kenaikan berat badan mendadak, sembelit yang kronik, dan kemerosotan mental dan fizikal) sering disalah anggap sebagai tanda-tanda biasa penuaan. Kewujudan beberapa penyakit kronik serta kesan sampingan ubat-ubatan juga menyerupai atau menyembunyikan lagi simptom-simptom hipotiroidisme.”8,10

Secara kesimpulannya, Prof Nor Azmi menyarankan semua wanita supaya mendapatkan maklumat untuk memahami penyakit ini. Beliau menasihatkan sesiapa yang mungkin mengalami tanda-tanda dan simptom-simptom penyakit ini untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan untuk membebaskan diri dari hipotiroidisme. Namun, pada era teknologi ini, kita sering terlalu sibuk sehinggakan kita terpaksa merancang dengan baik apabila ingin berjumpa dengan doktor atas keperluan kesihatan.

Inilah sebabnya Merck mempunyai satu alat atas talian mudah yang dinamakan “Hypothyroidism Symptom Checker Tool” atau ‘Alat Pemeriksaan Simptom Hipotiroidisme’. Alat atas talian ini boleh dicapai melalui laman web ‘Transform Your Life’ di www.tyl.my atau di laman Facebook program, ‘Transform Your Life – TYL’. Pengguna boleh menilai risiko mereka menghidap hipotiridoisme dengan mengisi senarai semakan tersebut sebelum ke klinik.

 

Rujukan

  1. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. Hypothyroidism [Internet]. 2016. [cited 2016 Sep 14]. Available from: https://www.niddk.nih.gov/health-information/health-topics/endocrine/hypothyroidism/Pages/fact-sheet.aspx
  2. Thyroid Screening in Pregnant Women. Putrajaya: Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia. 2008 December.
  3. AACE Thyroid Awareness. The Thyroid and Pregnancy [Internet]. n.d. [cited 2016 Apr 28]. Available from: http://www.thyroidawareness.com/the-thyroid-and-pregnancy#top
  4. University of Maryland Medical Centre. Hypothyroidism [Internet]. 2016 [cited 2016 May 23]. Available from: http://umm.edu/health/medical/reports/articles/hypothyroidism
  5. Sahay RK, Nagesh VS. Hypothyroidism in pregnancy. Indian J Endocrinol Metab. 2012 May-Jun;16(3): 364–370
  6. Abalovich M, Amino N, Barbour LA, Cobin RH, De Groot LJ, Glinoer D, Mandel SJ, and Stagnaro-Green A. Management of Thyroid Dysfunction during Pregnancy and Postpartum: An Endocrine Society Clinical Practice Guideline. Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism. 2007. 92(8) (Supplement):S1–S47
  7. Mayo Clinic. Postpartum thyroiditis [Internet]. 2013 [cited 2016 May 17]. Available from: http://www.mayoclinic.org/diseasesconditions/postpartumthyroiditis/basics/causes/con20035474
  8. Rehman SU, Cope DW, Senseney AD, Brzezinski W. Thyroid disorders in elderly patients. South Med J. 2005 May;98(5):543-9.
  9. Tan ZS, Beiser A, Vasan RS, Au R, Auerbach S, Kiel DP, Wolf PA, Seshadri S.Thyroid Function and the Risk of Alzheimer’s Disease: The Framingham Study. Arch Intern Med. 2008; 168(14): 1514–1520.
  10. Bensenor IM, Olmos RD, Lotufo PA. Hypothyroidism in the elderly: diagnosis and management. Clinical Interventions in Aging 2012:7 97–111.