Ada Masalah Pada Tiroid Anda?

Facebooktwittergoogle_pluspinterestmail

Kita mempunyai satu kelenjar kecil berbentuk rama-rama di bawah halkum di dalam leher kita. Kelenjar yang kecil ini mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada fungsi-fungsi tubuh. Kita mungkin tidak sedar pun ia ada di situ. Namun, jika ada yang tidak kena, ia boleh memberi masalah besar kepada kesihatan kita.

Tiroid bertanggungjawab untuk menghasilkan dan membebaskan hormon yang mempengaruhi metabolisme, sejenis aktiviti yang mengawal kelajuan dan kecekapan sel-sel menukar nutrien dari makanan yang kita makan untuk dijadikan tenaga. Dengan mengawal metabolisme, tiroid secara tidak langsung mempengaruhi setiap sel, tisu, dan organ di dalam tubuh kita – dari otot, tulang dan kulit hinggalah ke saluran penghadaman, jantung, dan otak. Berikut adalah apa yang dilakukan oleh kelenjar tiroid di dalam tubuh kita.

Hypothyroid_booklet_V3_BM OL copy

Apabila tiroid bermasalah, ia tidak boleh menghasilkan hormon tiroid di dalam kuantiti yang betul untuk memastikan tubuh kita berfungsi dengan baik. Ini boleh membawa kepada hipertiroidisme (berlebihan hormon) atau hipotiroidisme (kekurangan hormon).

Hipertiroidisme meningkatkan metabolisme kita dan biasanya membawa kepada penurunan berat badan, degupan jantung menjadi pantas, cepat marah dan tidak tahan panas. Mereka yang menghidap hipotiroidisme pula mengalami masalah fungsi-fungsi metabolik menjadi perlahan. Ia antara lainnya boleh menyebabkan kenaikan berat badan secara mendadak, keletihan yang kronik, kemurungan, sembelit dan sentiasa berasa sejuk. Ini kerana banyak fungsi organ dan sistem dalaman kita menjadi semakin perlahan.

Hipotiroidisme mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kehadiran sesetengah antibodi yang menyebabkan sistem imun menyerang kelenjar tiroid, pembedahan tiroid, rawatan radiasi, kekurangan iodin di dalam diet dan juga ubat-ubatan tertentu.

Kita perlu memberi perhatian kepada tiroid kita. Hidup kita boleh berubah dengan cara yang tidak disangka jika ada sesuatu yang tidak kena padanya. Jika anda selalu berasa tidak sihat sejak akhir-akhir ini, 12 tanda fungsi tubuh mungkin menjadi perlahan boleh membantu anda mengenalpasti jika anda berpotensi menghidap hipotiroidisme. Jika anda mempunyai masalah ini, jangan bimbang. Ianya mudah untuk membebaskan diri dari hipotiroidisme.